Saturday, 19 November 2011

Aktiviti

Berdasarkan peta minda di bawah, tulis karangan bertajuk “ Aku sebatang buluh ”.

Wednesday, 16 November 2011

Lafazkan pantun di bawah dengan intonasi yang betul

Pulau Pandan jauh ke tengah,
    Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
     Budi yang baik dikenang juga.


Pisang emas dibawa belayar,
   Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
    Hutang budi dibawa mati.


Dua tiga kucing berlari,
    Manakan sama si kucing belang;
Dua tiga boleh kucari,
    Manakan sama tuan seorang.

Monday, 14 November 2011

teka-teki

Pagi hari belajar menari,
    Rasa gembira senang hati;
Mainan apa adik bestari,
    Dicampak hidup, diikat mati?


Ayam jantan sedang berkokok,
    Berkokok di bawah pokok kuini;
Dalam banyak-banyak pokok,
    Pokok apakah yang paling berani?


Langit cerah nampak awan,
    Panas terik rasa nak pitam;
Buah apakah, wahai kawan,
    Di dalam putih, di luar hitam.


Pagi-pagi mengail ikan,
    Dapat pula si ketam batu;
Disorong makan, ditarik pun makan,
    Tahukah adik bendanya itu?


Orang di luar memberi salam,
    Orang di dalam masih berbual;
Matanya banyak dijadikan ulam,
    Sedap dimakan bersama sambal.

Lengkapkan petikan di bawah dengan penjodoh bilangan yang betul.

Pak Cik Asmuni hendak membuat kuih lemang. Dia mengambil lima batang buluh
daripada se___________pokok buluh. Kemudian dia memotong batang buluh
yang panjang itu. Se_____________buluh itu berukuran lebih kurang 50 sentimeter.
       Pak Cik Asmuni memasukkan beberapa _______________daun pisang ke
dalam batang buluh itu. Kemudian dia memasukkan beberapa ________________beras
pulut dan sedikit santan. Selepas itu, batang-batang buluh itu dibakar. Beras pulut yang
 masak dalam batang buluh itu disebut lemang.
       Pak Cik Asmuni menjual se__________________lemang dengan harga RM5.00 sahaja.

Sunday, 13 November 2011

Unit 12 Sudah kuketahui Tajuk: Buluh Pelbagai Guna

Pokok buluh merupakan tanaman serba guna. Pokok buluh biasanya tumbuh di hutan. Terdapat pelbagai jenis pokok buluh. Antaranya, buluh betung, buluh lemang, buluh minyak, dan buluh perindu.
Buluh dapat digunakan untuk membuat barangan kraf tangan seperti bakul, nyiru, tudung saji, tikar, dulang, dan sebagainya. Selain itu, buluh dapat dijadikan rakit, lidi sate, tabung, senduk, dan batang penyapu. Buluh juga dapat digunakan untuk membuat alat perabot seperti kerusi dan meja. Alat muzik seperti seruling dan angklung juga diperbuat daripada buluh.

1.   Pokok buluh biasanya tumbuh di mana?
      A   Hutan
      B   Bukit

2.   Terdapat pelbagai jenis pokok buluh. Antaranya,
      A   buluh lemak
      B   buluh lemang
      C   buluh limau

3.   Barangan kraf tangan yang berikut dibuat daripada buluh kecuali
      A   tikar
      B   bakul
      C   pinggan

4.   Buluh dapat dijadikan alat perabot seperti                                                    
      A   meja dan kerusi                                                                                 
      B   rakit dan senduk                                                                                           
      C   kerusi dan tikar
                                                                                                
5.   Apakah alat muzik yang diperbuat daripada buluh?                                              
      A   Gitar dan seruling                                                                                            
      B   Seruling dan angklung
      C   Seruling dan gendang                      
                 
                                                                                               Kosa kata:
                                                                                  nyiru - alat untuk menampi beras   
                                                                               senduk - alat untuk mencedok nasi, 
                                                                                              gulai, dan sebagainya.           
 

(c)2011 Sudut Cikgu Ho. Based in Wordpress by wpthemesfree Created by Templates for Blogger